Friday, October 31, 2008

Peranan Ibu dan Bapa



Demi mendapatkan anak-anak yang soleh, Islam telah menganjurkan kepada ibu bapa untuk melakukan beberapa amalan dari awal lagi. Islam telah menetapkan peraturan tertentu semasa menyambut kelahiran bayi iaitu dengan melakukan amalan-amalan sunat seperti berikut:

i- Azan dan iqamat

HENDAKLAH segera diazankan ditelinga kanan dan diiqamat ditelinga kiri sebagaimana hadis Rasulullah SAW yang bermaksud: “Sesiapa yang baru melahirkan anaknya lalu diazankan di telinga kanan dan diiqamat di telinga kirinya nescaya anak tersebut akan terhindar daripada penyakit sawan dan angkara syaitan”.

(Hadis Riwayat Abu Ya’la )

ii- Membelah mulut (tahnik)

TAHNIK mulut bayi dengan kurma atau makanan yang manis merupakan sunnah Nabi SAW.

iii- Penyusuan

SUSU ibu merupakan makanan semula jadi bayi. Ia membina kesihatan dan tenaga. Ia juga makanan rohani dan akhlak yang memberi kesan kepada seluruh keperibadian anak, mengalirkan aliran pemikiran dan sikap yang baik ke dalam diri bayi melalui setiap titisan air susu ibu.

iv- Memberi nama

TANGGUNGJAWAB ibu bapa juga ialah memberi nama anak-anak dengan nama yang baik sebagaimana hadis Nabi SAW yang bermaksud: “ Tugas dan tanggungjawab bapa terhadap anaknya ialah memperelokkan nama anaknya dan juga adabnya”

(Hadis Riwayat al-Baihaqi)

v- Bercukur

MENGGUNTING rambut bayi merupakan sunnah Rasulullah SAW yang dilakukan ketika bayi berusia 7 hari. Rambut tersebut hendaklah ditimbangkan dengan wang perak yang kemudiannya disedekahkan kepada fakir miskin mengikut berat timbangan rambut yang digunting tersebut.

vi- Aqiqah

HUKUM Aqiqah ialah sunat yang sangat dituntut (muakkad). Sabda Nabi SAW mengenainya yang bermaksud : “Setiap anak tergadai dengan aqiqahnya yang disembelih untuknya pada hari ke 7, dicukur ranbutnya dan diberi nama.”

(Hadis Riwayat Ahmad)

vii- Berkhatan

BERKHATAN termasuk sunnah Rasulullah SAW. Sabda Nabi SAW mengenainya yang bermaksud: “Berkhatan itu sunat bagi kaum lelaki dan suatu penghormatan kepada kaum wanita.”

(Hadis Riwayat At- Tabrani)


Tanggungjawab Ibu Bapa Membentuk Peribadi , Akidah Anak Sebaik Dilahirkan


Anak merupakan aset yang paling bernilai kepada kedua-dua ibu dan bapa. Oleh itu, setiap pasangan yang telah berkahwin mempunyai keinginan untuk mendapatkan cahaya mata sebagai penyeri dan pelengkap kebahagiaan dalam sesebuah rumah tangga yang dibina. Firman Allah SWT yang bermaksud:

“Harta benda dan anak pinak itu ialah perhiasan hidup di dunia…”

(al-Kahfi :46)


Betapa beruntungnya kedua-dua ibu bapa yang mempunyai anak-anak soleh yang dapat membahagiakan hidup mereka . Bukan sahaja hidup di dunia bahkan di akhirat juga. Doa daripada anak-anak yang soleh tetap tidak terputus kepada ibu dan bapa mereka sekalipun kedua-duanya telah meninggal dunia sebagaimana sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:

“Apabila meninggal dunia seseorang anak Adam, maka terputuslah semua amalannya kecuali tiga perkara iaitu: Sedekah jariah, ilmu yang dimanfaatkan dan anak soleh yang sentiasa mendoakan kedua-dua ibu bapanya”.

(HR al-Bukhari)


Anak-anak hendaklah diberi pendidikan yang sempurna seawal mungkin bermula dari dalam kandungan lagi. Tanggungjawab ibu dan bapa telah wujud sebelum terbentuknya janin. Oleh itu suami isteri hendaklah memberi perhatian dan tumpuan pendidikan sempurna sepenuhnya untuk memastikan anak tersebut menjadi anak yang soleh. Suami isteri mesti bertanggungjawab untuk menjaga kandungan dari segi kesihatan fizikal dan mental, mengamalkan pemakanan seimbang, makan minum dan rezeki dari sumber yang halal dan berkat, mengerjakan amalan-amalan kerohanian seperti membanyakkan membaca al-Quran, zikir, melakukan ibadah-ibadah sunat disamping tidak meninggalkan ibadah fardhu yang diwajibkan.


Ketika isteri mengandungkan bayi, si bapa pula mempunyai peranannya yang tersendiri. Bekerjalah dengan penuh amanah, bertanggungjawab dan ikhlas demi mendapatkan rezeki yang halal untuk keluarga mereka. Sesungguhnya keberkatan lahir dari makan minum yang berpunca dari rezeki yang halal.


Oleh itu para ibu bapa hendaklah sentiasa berhati-hati dan berwaspada setiap masa dalam pekerjaan. Tunaikan kerja dengan penuh dedikasi dan amanah demi memperoleh rezeki yang berkat dari sumber yang halal. Rezeki yang diberi makan kepada anak itulah yang akan menjadi darah daging yang akan membesarkan anak-anak . Jika sumbernya halal dan berkat, mudah-mudahan anak-anak yang bakal dilahirkan akan menjadi anak-anak soleh yang dapat membahagiakan hidup kedua-dua ibu bapa. Di samping itu apabila anak-anak telah diberi pendidikan sempurna mengikut syariat Islam, apabila besar mudah-mudahan mereka akan menjadi anak yang soleh.

Thursday, October 30, 2008

Final Exam Semakin Dekat!

Sedar tak sedar, dah dekat setahun kita kat maktab ni. Maknanya final exam dah makin dekat. Segala apa yang dah diajar selama ni bakal diuji dalam exam yang menjadi penentu cemerlang atau tidak. Perangai lama jangan diulang, iaitu study 'last minit'. Nanti murid2 pun ikut benda yang sama, jangan kita nak marah pulok...


Sebagai bakal guru, seharusnya tidak mengalami masalah dalam menguruskan matapelajaran yang perlu diulangkaji. Bakal guru la katakan...
Perlu pandai membahagiakan masa untuk belajar dan bermain. Sebut pasal bermain, study jer tanpa riadah yang cukup pun tak elok gak. Nanti nak amik exam tiba2 sakit demam melanda.

Apa pun, semoga berjaya dan suksess dalam peperiksaan nanti. Moga2 semua dapat cemerlang dalam keputusan nanti. Insyaallah....


Tuesday, October 7, 2008

Pemurahnya Allah S.W.T.


Rasulullah s.a.w. ada bersabda, katanya, "Setiap anak Adam akan dijaga oleh dua malaikat. Malaikat yang di sebelah kanan lebih berkuasa dari yang sebelah kiri. Sekiranya seseorang anak Adam melakukan dosa maka malaikat yang di sebelah kiri akan bertanya pada malaikat di sebelah kanan katanya, "Apakah yang harus aku catit?"
Kata malaikat di sebelah kanan, "Jangan kamu catit dahulu dosanya sehingga ia melakukan 5 kesalahan.
Malaikat yang di kiri bertanya lagi,"Kalau ia telah melakukan 5 kesalahan, apa yang harus aku catitkan?"
Jawab malaikat kanan, "Biarkannya, sehingga ia membuat kebaikan kerana kami telah diberitahu oleh Allah s.w.t bahawa satu kebaikan akan mendapat 10 pahala. Oleh itu hapuskanlah 5 kesalahannya yang lalu sebagai tebusan dan kami masih simpankan untuknya 5 pahala lagi."
Tercenganglah syaitan mendengarkannya lalu berkata,"Kalau macam ini sampai bilakah aku dapat merosakkan anak Adam."
Demikianlah rahmat Allah pada hambanya, kasih sayangNya melimpah ruah tiada terbatas hanya hambanya saja yang lalai dan leka dengan keseronokkan serta kemewahan dunia.

Cerita Kemaafan


Ada seorang pemuda yang sangat pemarah. Dia tidak dapat mengawal kemarahannya walaupun ianya hanya satu masalah kecil sahaja. Pada suatu hari, bapanya telah menghadiahkannya dengan seguni paku.
"Untuk apakah paku-paku ini ayah?" tanya pemuda tersebut. "Setiap kali kamu marah, kamu pakulah tembok batu di hadapan rumah kita ini, bagi melepaskan kemarahan mu" jawab ayahnya. Pada hari yang pertama sahaja, pemuda itu telah memaku sebanyak 37 batang paku pada tembok batu tersebut.
Selepas beberapa minggu, setelah dia dapat mengurangkan kemarahannya, jumlah paku yang digunakan juga berkurangan. Dia mendapati, adalah lebih mudah mengawal kemarahannya dari memukul paku menembusi tembok batu tersebut. Akhirnya tibalah pada suatu hari, dimana pemuda tersebut tidak marah, walau sekali pun.
Dia pun memberitahu ayahnya mengenai perkara tersebut dengan gembira. Bapanya mengucapkan tahniah dan menyuruh dia mencabut kembali paku itu satu persatu, pada setiap hari yang ia lalui tanpa kemarahan. Hari berganti hari, dan akhirnya dia berjaya mencabut kesemua paku-paku tersebut. Pemuda tersebut lantas memberitahu perkara tersebut kepada bapanya dengan bangganya.
BAPANYA TELAH MEMIMPIN tangannya ke tembok tersebut dan berkata "Kau telah melakukannya dengan baik, anakku, tetapi lihatlah kesan lubang-lubang di tembok batu tersebut, tembok itu tidak akan kelihatan sama lagi seperti sebelumnya.Bila kau menyatakan sesuatu atau melakukan sesuatu ketika marah, ianya akan meninggalkan kesan parut dan luka, sama seperti ini. Tetapi ingatlah, tak kesah berapa kali kau memohon maaf dan menyesal atas perbuatam mu, namun lukanya masih tetap ada. Luka di hati adalah lebih pedih dari luka fizikal. Sahabat adalah permata yang sukar dicari. Mereka membuatkan kamu ketawa dan menggalakan mu ke arah kejayaan Sahabat juga adalah seorang pendengar,berkongsi suka dan duka dan sentiasa membuka hatinya kepada kita"
Maafkan saya sekiranya saya pernah meninggalkan kesan parut di dinding hati sahabat sekalian...